Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan Mesyuarat Dua Hala bersama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão, yang diadakan di Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, di sini, sempena Lawatan Rasmi ke Negara Brunei Darussalam (NBD) pada 3 hingga 6 Mei 2026.
Semasa Mesyuarat Dua Hala berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste serta rombongan ke NBD.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menzahirkan rasa sukacita bahawa NBD adalah destinasi lawatan pertama selepas penyertaan bersejarah Republik Demokratik Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN, serta merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama, kerajaan dan rakyat Republik Demokratik Timor-Leste atas pencapaian yang amat bermakna tersebut.
Kebawah DYMM juga bertitah menzahirkan rasa sukacita terhadap kerjasama erat dan berkekalan yang telah terjalin sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 2002, yang kini berkembang berteraskan kepercayaan bersama.
Dalam titah, baginda turut menekankan kepentingan kerjasama antara kedua-dua negara dalam memperkukuh daya tahan ekonomi sebagai negara pengeluar minyak dan gas.
Kedua-dua pemimpin seterusnya juga membincangkan hubungan kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.


